7 April 2017 - 07:59
A.S Lancar Peluru Berpandu Ke Atas Syria Atas Alasan Serangan Kimia Oleh Damsyik

Amerika Syarikat pada awal hari Jumaat telah melancarkan puluhan peluru berpandu 'Tomahawk' ke atas sebuah pangkalan udara Syria. Mereka menggunakan alasan serangan kimia di Idlib yang menurut mereka dilancarkan oleh tentera Damsyik untuk melancarkan serangan itu ke atas sebuah kerajaan berdaulat lain.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Amerika Syarikat pada awal hari Jumaat telah melancarkan puluhan peluru berpandu 'Tomahawk' ke atas sebuah pangkalan udara Syria. Mereka menggunakan alasan serangan kimia di Idlib yang menurut mereka dilancarkan oleh tentera Damsyik untuk melancarkan serangan itu ke atas sebuah kerajaan berdaulat lain.

Tentera A.S pada pagi Jumaat telah melancarkan hampir 60 biji peluru Tomahawk ke atas pangkalan al-Shairat yang terletak di wilayah Homs di barat Syria.

"Pada malam ini saya telah mengarahkan serangan udara ke atas pangkalan udara Syria yang (dipercayai) telah digunakan untuk melancarkan serangan kimia," kata Trump yang memberitahu pemberita di Florida.

Peluru berpandu tersebut dipercayai dilancarkan oleh dua buah kapal pemusnah A.S, USS Ross dan USS Porter dari lautan Mediterranean.

Seorang sumber ketenteraan Syria yang dinukilkan oleh media mengatakan bahawa serangan peluru berpandu A.S telah mengakibatkan kerugian di pihak mereka.

Trump mengarahkan serangan tersebut sehari selepas menyalahkan Presiden Assad berhubung serangan kimia di Idlib yang membunuh sekurang-kurangnya 70 orang.

Pihak militan tajaan kuasa asing yang aktif di kawasan itu dan juga para pegawai negara-negara Barat dengan pantas meletakkan kesalahan ke atas Damsyik. Syria dengan keras menafikan tuduhan itu sambil menegaskan bahawa mereka tidak pernah menggunakan senjata itu.

"Tidak ada perbalahan tentang hakikat bahawa Syria telah menggunakan senjata kimia terlarang," kata Trump tanpa membekalkan sebarang bukti di atas dakwaannya itu.

Dakwaan bahawa Syria menggunakan senjata kimia sering dilemparkan ke atas Damsyik walaupun mereka telahpun memusnahkan simpanan senjata itu di bawah program yang diselia oleh PBB sendiri.

Sepanjang konflik Syria, pihak militan juga berulang kali menggunakan senjata terlarang tersebut di mana sebahagian daripada kes tersebut telah disahkan oleh para pegawai PBB sendiri. Akan tetapi, perkara itu sering tidak diendahkan oleh kerajaan barat.

Pada Disember 2015, sepupu kepada Muammar Gaddafi berkata senjata kimia yang digunakan di dalam serangan di Ghouta (yang turut dpersalahkan ke atas Damsyik) sebenarnya telah dicuri dari Libya sebelum diseludup ke Syria melalui Turki.

/315